Kamis, 03 Juni 2010

11 Tips bekerja sambil belajar

SERING kali kedengaran kenalan di tempat kerja merungut kepenatan sejurus bekerja seharian. Begitu jugalah keadaannya di kalangan pelajar yang sedikit tertekan untuk menyiapkan tugasan pensyarah. Namun, terfikirkah anda bagaimana sesetengah mereka yang bekerja menyahut cabaran dengan untuk menyambung pelajaran?

Bayangkan, selepas tamat waktu bekerja mereka tidak seperti teman-teman lain yang mungkin menghabiskan masa di restoran mamak, tidak pun memenuhi agenda lain di pusat beli belah dan kemudiannya pulang ke rumah untuk merehatkan minda serta bersama keluarga.

Mereka yang menyambungkan pelajaran pula terpaksa mengenepikan kesemua itu dengan bekerja keras di institusi pengajian tinggi (IPT) semata-mata untuk menggenggam segulung ijazah yang bukan saja meningkatkan kualiti kehidupan malah memberi impak besar dalam kerjayanya.

Bagi yang masih bujang, mungkin bebanan untuk melakukan dua tugas itu serentak tidak memberikan banyak kesan, tetapi bagaimana yang sudah berumah tangga, apatah lagi untuk membahagikan masa bersama suami atau isteri, anak-anak dan hal ehwal keluarga.

Mengapa segelintir masyarakat sanggup melakukan dua perkara serentak, sedangkan mereka mungkin sedar bebanan tugas lebih besar berada di bahu mereka? Apatah lagi, bila memikirkan rutin yang diharungi memakan masa agak lama sehingga lima tahun.

Terdapat beberapa faktor yang mendorong seseorang individu untuk menyambung pengajian walaupun sudah bekerja. Faktor utama yang sering ‘memaksa’ seseorang untuk mendapatkan kelulusan pengajian yang lebih tinggi adalah kerana gaji. Sebahagian besar majikan, baik di sektor kerajaan ataupun swasta meletakkan kelulusan pendidikan sebagai kriteria penting dalam menentukan tangga gaji.

Selain itu, kenaikan gaji juga masih lagi bergantung kepada pencapaian akademik bukan kerana pengalaman dan prestasi bekerja menyebabkan pekerja yang bergaji rendah tiada pilihan lain selain terpaksa berkorban sedikit masa dengan belajar selepas waktu pejabat.

Bukan sekadar faktor gaji semata-mata, kebanyakan individu merasakan pengajian yang mereka ikuti itu sedikit sebanyak dapat menambahkan kemahiran mereka dalam pelbagai aspek sekali gus memberi impak positif kepada kerjaya mereka. Benar, jika kena dengan caranya, tanggungjawab ini dapat mengasah kecekapan dan membentuk disiplin seseorang.

Malah, ada juga rakan pejabat yang memilih untuk menyambung pengajian semata-mata tidak mahu berasa ‘terkebelakang’ dengan rakan sekerja yang memiliki kelulusan tinggi. Ini sedikit sebanyak memberikan cabaran buatnya untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah.

# Rancang kerja anda sebaiknya. Periksa dan catat tarikh akhir (deadline) bagi tugasan pejabat serta pengajian lebih awal dan letakkan ia di tempat yang dapat dilihat.
# Gunakan masa dengan sebaiknya. Anda mungkin boleh membaca atau mendengar semula rakaman kuliah ketika menaiki tren daripada hanya melihat gelagat penumpang lain ketika menunggu untuk tiba ke destinasi.
# Pastikan semuanya dilakukan secara seimbang. Bekerja sambil belajar sememangnya memenatkan. Makan dengan teratur, bersenam, dapatkan rehat secukupnya dan jika berpeluang, teruskan aktiviti sosial anda.
# Jika anda mempunyai masalah untuk menepati tarikh akhir atau tiba-tiba terjadi masalah keluarga dan kerja, beritahu kepada pensyarah anda lebih awal. Mereka juga manusia dan tentu mereka memahami beban anda untuk melakukan dua perkara ini serentak.
# Sentiasa ingatkan diri anda apa kebaikan pengajian yang anda ikuti itu untuk masa depan anda. Dapatkan sebab yang kukuh untuk mengikuti kursus yang anda pilih. Jika alasan atau sebab anda menyambung pengajian itu lemah, ia mampu mengganggu motivasi anda untuk menghadapinya.
# Beritahu ketua atau majikan anda mengenai pengajian anda. Menyambung pengajian menunjukkan anda serius mengenai pembangunan diri sebagai seorang individu.
# Ada ramai penuntut dewasa yang mengikuti pengajian separuh masa. Anda seharusnya melihat ini sebagai peluang untuk mengembangkan jaringan kenalan.
# Wujudkan tempat bekerja yang dapat membuatkan anda berasa selesa. Gunakan apa-apa kaedah yang membantu anda untuk fokus, contohnya jadual, kata-kata semangat yang ditampal di dinding, tulisan dengan pen berwarna-warni, peta minda atau bungaan di meja kerja anda.
# Cari tempoh waktu terbaik untuk anda belajar atau mengulangkaji. Segelintir individu lebih gemar memilih waktu awal pagi.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar